Ads 468x60px

-

Thursday, 22 September 2011

Angry Bird

 

Angry Birds ("Burung Marah") merupakan satu permainan video yang dimajukan oleh syarikat Finland, Rovio Mobile. Permainan yang mendapat ilham daripada lakaran burung-burung yang tidak berkepak ini mula-mula dikeluarkan untuk iOS Apple's pada Disember 2009. Semenjak itu, lebih 12 juta salinan permainan ini telah dibeli dari App Store Apple, sehingga mendorong syarikat pembuatnya untuk mereka versi-versi baru untuk telefon pintar berskrin sentuh yang lain, misalnya sistem pengendalian Android, antara lainnya.
Dalam permainan ini, pemain menggunakan lastik untuk menembakkan burung ke arah gerombolan khinzir yang berjaga dalam kubu dengan tujuan menghapuskan kesemua khinzir di atas medan main. Apabila pemain mara ke hadapan sepanjang permainan, terdapat burung-burung jenis baru yang mempunyai kebolehan-kebolehan istimewa yang boleh dihidupkan oleh pemain. Rovio Mobile menyokong Angry Birds dengan pelbagai kemas kini percuma yang menambah isi kandungan permainan. Rovio turut mengeluarkan versi permainan ini yang berasingan sempena musim perayaan dan promosi.
Angry Birds disanjungi kerana berjaya menggabungkan ciri-ciri permainan yang menagihkan, gaya yang lucu, dan harga yang rendah. Kelarisannya turut mendorong pembuatan versi Angry Birds untuk komputer peribadi dan konsol permainan, barang-barang dagangan yang menampilkan watak-wataknya dan juga rancangan untuk membuat filem atau siri televisyen. Dengan sejumlah 250 juta muat turun di semua platform, termasuk edisi biasa dan khas, permainan ini digelar "salah satu permainan yang paling di arus perdana", "salah satu permainan hit paling cemerlang 2010", dan "kejayaan aplikasi mudah alih terbesar yang pernah disaksikan oleh satu dunia setakat ini".


Dalam Angry Birds, pemain mengawal sekawan burung beraneka warna yang cuba merampas balik telur-telurnya yang dicuri oleh segerombolan khinzir hijau yang durjana. Di setiap tahap, khinzir-khinzir ini berlindung dalam struktur-struktur buatan pelbagai bahan seperti kayu, ais dan batu, dan objektif permainan adalah menghapuskan semua khinzir dalam setiap satu tahap. Dengan menggunakan lastik, pemain melancarkan burung dengan tujuan sama ada terus melanggar khinzir atau meruntuhkan struktur sehingga runtuh dan menghempap khinzir itu sampai mati. Dalam sesetengah tahap, benda-benda tambahan seperti tong letupan dan batu-batan disediakan sebagai bantuan kepada burung-burung intuk menghapuskan khinzir yang sukar dicapai.
Dalam permainan ada beberapa jenis burung yang digunakan. Dalam tahap-tahap terawal, hanya ada burung merah yang asas. Apabila pemain semakin mara dalam permainan, ia akan memperoleh jenis-jenis burung yang lain; sesetengah burung ini lebih berkesan terhadap bahan-bahan binaan tertentu ataupun mempunyai ciri-ciri istimewa yang boleh dihidupkan oleh pemain selepas dilancarkan. Misalnya, burung biru boleh berpecah menjadi tiga, burung kuning boleh memecut, burung hitam meletup dan burung putih boleh melepaskan telur meletup. Khinzir-khinzir itu juga bermacam-macam saiznya. Khinzir yang kecil agak lemah dan mudah dihapuskan oleh langgaran terus atau reruntuhan struktur, manakala khinzir yang lebih besar pula sememangnya lebih tahan lasak. Begitu juga, sesetengah khinzir memakai topi besi sebagai perlindungan supaya lebih tahan lasak, sementara khinzir yang memakai mahkota (Raja Khinzir) adalah yang paling tahan lasak.

Setiap tahap bermula dengan bilangan, jenis dan baris gilir burung yang ditentukan terlebih dahulu. Jika kesemua khinzir ditewaskan apabila atau sebelum burung terakhir dipakai, maka tahap itu selesai dan tahap seterusnya dibuka. Mata diberikan untuk seekor khinzir yang ditewaskan dan juga kemusnahan struktur, dan juga mata bonus untuk burung-burung yang tidak dipakai. Setiap kali menyiapkan satu tahap, pemain menerima satu, dua atau tiga bintang mengikut markah yang diraihnya. Pemain boleh mencuba semula tahap-tahap yang terbuka sebanyak kali yang boleh untuk menghabiskan tahap itu dengan jayanya, ataupun mendapat mata dan/atau bintang tambahan.

Pada awal tahun 2009, para kakitangan Rovio mulai mengkaji usul-usul untuk permainan yang berpotensi. Salah satu usul itu datang dari pereka permainan kanan, Jaakko Iisalo, dalam bentuk tangkapan skrin bersimulasi yang menampilkan beberapa ekor burung berwajah marah yang tidak kelihatan kaki atau kepaknya.  Walaupun gambar itu tidak sedikit pun membayangkan jenis permainan apa yang dimainkan, namun kakitangannya menyukai watak-watak itu,  maka pasukan itu memilih untuk mereka sebuah permainan yang berkisar pada burung-burung itu.  Semasa konsep Angry Birds dimajukan, para kakitangan sedar bahawa watak-watak burung itu memerlukan satu musuh.  Ketika itu, wabak "selesema babi" menjadi berita hangat, maka mereka menjadikan khinzir sebagai musuh burung.  Mekanik permainan diilhami oleh permainan fizik jenis petrari lain yang dikeluarkan selama ini, termasuk satu lagi keluaran 2009, Crush the Castle.  Kos permulaan untuk membangunkan Angry Birds dianggarkan mencecah Templat:Currency, tidak termasuk belanja untuk kemas kini selanjutnya. Untuk versi Apple iOS, Rovio berkongsi dengan pengedar Chillingo untuk menerbitkan permainan ini di Apple App Store.  Bagaimanapun, semenjak itu, Rovio telah menerbitkan sendiri hampir kesemua port-port lanjutan bagi permainan ini, kecuali untuk versi PlayStation Portable yang dihasilkan di bawah lesen oleh Abstraction Games dan kemudiannya diedarkan oleh Chillingo.
Ketika Rovio mulai mengarang versi baru permainan ini untuk peranti lain, timbulnya pula isu baru. Ketika pasukan pembangun mulai mengusahakan versi untuk sistem Android, mereka mendapati satu perbezaan yang besar dengan jenis peranti dan versi keluaran perisian Android.  Bilangan kombinasi versi perisian, kelajuan pemproses dan juga antara muka pengguna adalah jauh lebih besar daripada versi Apple iOS yang dahulu. Akhirnya, mereka menetapkan beberapa keperluan minimum,  walaupun ini menyebabkan hampir 30 jenis telefon Android tidak dapat menjalankan permainan ini.  Sebulan selepas keluaran awal untuk Android, Rovio Mobile mula mereka versi permainan yang lebih ringkas untuk peranti-peranti lain tersebut.
Pada awal tahun 2010, Rovio mulai membangunkan versi Angry Birds untuk Facebook.  Projek ini merupakan salah satu projek terbesar buat Rovio, dengan usaha pembangunan yang memakan masa setahun. Syarikat tersebut memahami cabaran memindahkan konsep permainann antara platform sosial dan sistem peranti mudah alih/permainan. Dalam temu ramah pada Mac 2011, Peter Vesterbacka dari Rovio berkata, "Pengalaman yang berhasil di satu persekitaran dan satu ekosistem tidak boleh disuap paksa ke dalam persekitaran yang lain. Begitu juga dengan Zynga, mereka tidak boleh menaruhkan FarmVille ke dalam peranti mudah alih dan mengujinya begitu sahaja. Judul-judul yang membawa kejayaan kepada mereka di peranti mudah alih adalah dibangunkan semula dari pangkal demi platform berkenaan.”

Versi terawal permainan ini untuk iOS mempunyai satu episod yang bertajuk "Poached Eggs" (Kecurian Telur), yang terdiri daripada tiga bab bertema, setiap satunya ada 21 tahap. Dari masa ke semasa, Rovio mengeluarkan kemas kini percuma yang merangkumi bahan kandungan tambahan, seperti tahap baru, objek baru dalam permainan dan juga burung baru. Setiap kali kemas kini dikeluarkan, ia juga diterapkan dalam versi penuh permainan yang ditawarkan untuk muat turun dari kedai aplikasi setiap platform.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...