Pengguna Android perlu dapatkan daripada vendor dipercayai
Pengguna telefon Android mesti berhati-hati sebelum memasang aplikasi yang dijual dalam pasaran Android dalam tempoh kurang 90 hari.
Pengasas Privateer Labs, Riley Hassell berkata, malware tidak ada dalam pasaran dalam tempoh yang panjang itu.
Menurutnya, pengguna Android perlu mengenal pasti sama ada aplikasi itu daripada vendor yang dipercayai.
“Sebagai contoh, jika anda memasang aplikasi Skype, anda perlu mendapatkannya daripada Skype.com, dan bukan daripada vendor lain,” katanya pada taklimat media selepas pembentangan 'Menggodam Android untuk Keuntungan” pada Persidangan Hack in the Box Security 2011 di Kuala Lumpur.
Hassel berkata, app phishing yang membolehkan penggodam memintas nama pengguna dan kata laluan untuk aplikasi popular, dijangkakan semakin popular dalam bulan-bulan akan datang.
Dalam pembentangannya, Hassell menunjukkan aplikasi yang menyamar sebagai Skype untuk memperoleh akses kepada akaun pengguna Skype.
Beliau juga menasihatkan pengguna Android supaya melihat penarafan aplikasi dan membaca ulasannya sebelum meneruskan pemasangan.
“Jika ia mempunyai 30,000 penarafan, ia baik namun jika hanya ada dua penarafan, ia sebaliknya.
“Androids mempunyai proses pengesahan minimum. Oleh itu anda mesti membuat keputusan bijak mengenainya dan tanya diri sendiri sama ada aplikasi anda perlu mengetahui maklumat mengenai anda,” katanya.
Hassell berkata, pengguna Android yang memasang malware dalam telefon mereka supaya mengembalikannya kepada default.
“Anda mungkin hilang gambar peribadi dalam telefon, namun Android bersih daripada sebarang malware,” katanya.
Privateer Labs ialah syarikat keselamatan produk dan perkhidmatan yang memiliki pengalaman keselamatan melebihi 30 tahun.
Persidangan The Hack in the Box Security yang terbesar di Asia dan persidangan keselamatan rangkaian paling popular, menghimpunkan pakar-pakar keselamatan utama yang disegani untuk latihan teknikal amali serta pembentangan kajian. -Bernama
0 comments:
Post a Comment